Dasar 1 Murid 1 Sukan

Dasar 1 Murid 1 Sukan (1M1S)

PENGENALAN
Dasar 1M1S mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah. Dasar ini menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Justeru dengan dasar ini, setiap murid akan melibatkan diri secara aktif dengan menyertai aktiviti sukan sekolah sepanjang tahun.
Dasar ini adalah selaras dengan Dasar Sukan Negara untuk membudayakan sukan di kalangan masyarakat dan hendaklah dimulakan di peringkat sekolah melalui strategi (1) sukan untuk semua dan (2) sukan untuk kecemerlangan.
Aktiviti sukan di bawah Sukan Untuk Semua adalah sangat penting dalam membina kesihatan, sahsiah dan kesejahteraan kesemua murid.  Bagi Sukan untuk kecemerlangan, prestasi murid yang berbakat dan berpotensi hendaklah terus dibangunkan dibawah Program Kecemerlangan Bakat Muda, Sukan Prestasi Tinggi Sekolah serta sukan lain yang mampu ditawarkan oleh pihak sekolah. Oleh yang demikian, penyertaan setiap murid dalam sukan adalah amat penting sebagai satu landasan mendokong aspirasi 1Malaysia yang sihat, cergas, dinamik dan bersatu padu. Dasar ini selaras dengan hasrat YAB Perdana Menteri dalam mendokong semangat 1Malaysia.
MATLAMAT
Dasar 1M1S berhasrat untuk ;-
Membangunkan modal insan melalui penyertaan yang menyeluruh dari kalangan murid dalam kegiatan sukan sepanjang tahun.
Memupuk budaya bersukan di kalangan murid sekolah agar menjadi ahli masyarakat yang mengamalkan gaya hidup sihat dan cergas.
OBJEKTIF
Dasar 1M1S berhasrat untuk memenuhi objektif-objektif berikut;
1 Meningkatkan kecergasan jasmani
2 Membentuk sahsiah, jati diri, disiplin dan nilai murni
3 Memupuk perpaduan di antara kaum
4 Membentuk budaya sukan di kalangan murid
5 Memenuhi naluri semulajadi murid
6 Memberi keseimbangan antara keperluan akademik dengan keperluan fizikal
7 Mewujudkan landasan ke arah kecemerlangan sukan

No comments: